Friday, 6 June 2008

lelaki mudah mendekati wanita bersifat keibuan

DALAM memilih jodoh, lelaki sering bersandarkan paras rupa atau kecantikan
wanita.


Kecantikan sesuatu yang subjektif. Apapun, wanita harus menjadikan diri
mereka cantik dalam segala aspek.


Jika ciri yang diperturunkan ini anda miliki, ia mungkin boleh dianggap
satu pakej wanita idaman yang diingini lelaki sebagai pasangan hidup satu
hari nanti.


* Keibuan. Inilah sikap sebenar wanita yang membuatkan lelaki teruja
padanya. Banyak lelaki terpikat pada wanita yang bersikap keibuan, lembut,
mengambil berat dan penuh kasih sayang.


Wajah keibuan sesungguhnya mampu membuat lelaki berasa tenteram ketika
sedang dalam keadaan tertekan, cemas dan gelisah serta senang hati ketika
mahu bermanja. Jangan tunggu sampai melahirkan anak baru hendak menonjolkan
sikap keibuan. Setiap wanita ada potensi memiliki sikap keibuan dalam diri
masing-masing.


* Keanak-anakan. Dalam batas yang wajar, sifat keanak-anakan seorang wanita
menjadi daya tarikan di mata lelaki. Mereka rasa terhibur dengan keletah
anda, tetapi tentulah bukan sifat keanak-anakan yang melampau dan
menyakitkan hati sebaliknya sikap keanak-anakan yang menyenangkan.


Kemanjaan wanita boleh membangkitkan naluri kebapaan dan kelelakian, malah
wanita yang ceria membuat lelaki lebih ghairah.


* Penuh pengertian. Pengertian wanita sering membuat lelaki berasa dihargai
dan diterima seadanya seperti perasaan mudah memaafkan dan memilih waktu
yang tepat untuk berbincang masalah.


Contohnya ketika lelaki melakukan kesilapan, wanita yang penuh pengertian
tidak terus mengeluarkan kata-kata kasar atau menuduh yang bukan-bukan
sebaliknya cuba mengerti duduk perkara sebenar.


* Menghargai. Wanita yang menghargai lelaki adalah wanita idaman lelaki.
Berbeza dengan wanita yang suka diperlakukan dengan lembut, lelaki suka
dihargai, dipuji dengan tulus ikhlas dan diberi kepercayaan. Penghargaan
daripada wanita membuat lelaki berasa bangga.


* Menjaga penampilan. Lelaki menyukai wanita yang pandai menjaga
penampilannya agar sentiasa kelihatan cantik, bersih, kemas dan menarik.
Penampilan yang baik menunjukkan wanita itu menghargai dirinya. Dia akan
murah senyuman, pandai merawat dan menjaga kesihatan tubuhnya, meningkatkan
kualiti hidup serta memberi yang terbaik kepada dirinya.


Dia bersyukur dengan dirinya dan secara tidak langsung memancarkan pesona
yang menyebabkan lelaki juga menyukainya. Apabila sudah berumah tangga,
wanita berkenaan terus menjaga penampilan dirinya dan kesihatan tubuh badan
walau sudah beranak-pinak. Siapa yang tidak suka isteri yang kelihatan
cantik dan ramping walau sudah punya anak tiga?


* Pandai berbicara. Lelaki tertarik dengan wanita yang pandai berkomunikasi
dan boleh diajak berbual. Walaupun topik perbualan yang disukai lelaki
berbeza dengan topik kegemaran wanita, wanita berkenaan dapat
mengimbanginya.


Dia bukan sekadar teman berbual yang pasif, tetapi memberi tindak balas dan
pendapat yang baik. Dia juga tahu menjadi pendengar yang baik serta
mengalihkan topik agak serius kepada perbualan yang lebih menarik. Lelaki
juga gemar wanita yang suka bergurau dan pandai berjenaka serta boleh
menerima jenaka lelaki dengan baik dan berfikiran terbuka.


* Pandai bergaul dan menyesuaikan diri. Wanita yang pandai bergaul dan
menyesuaikan diri mempunyai nilai lebih di mata lelaki. Wanita tahu
menghadapi orang yang lebih tua dan cara berhadapan dengan orang yang lebih
muda. Apabila berhadapan dengan suasana baru, wanita itu cepat menyesuaikan
diri.


* Menghormati diri sendiri. Lelaki suka wanita yang menghormati dirinya
sendiri sebagai seorang wanita, bersikap sopan dan mempunyai etika. Wanita
yang menghormati dirinya sendiri mempunyai keyakinan serta tahu apa yang
baik dan buruk diperlakukan oleh seorang lelaki terhadap dirinya.


* Simpati dan prihatin. Lelaki suka wanita yang murah hati, mengambil
berat, simpati pada nasib mereka yang susah, sayangkan kanak-kanak dan
tidak memilih bulu.


Ada kecantikan dalaman pada dirinya yang memancar keluar dengan indah dan
mempesona.

No comments: